Ahad, 28 Mac 2010

Guru itu Memberi tanpa balasan..


Dorongan motivasi oleh orang-orang yang lebih berpengalaman itu kadang-kadang akan meningkatkan motivasi dalaman diri. Motivasi ia tidak datang dengan sendiri. ia mesti dipupuk dan juga banyak begantung oleh persekitaran terutamanya insan-insan yang berinteraksi dengan kita. Malam yang bertuah ini aku disapa oleh seorang kakak yang perkenalan kami bermula semasa ia sudah berada dihujung semester. Perkenalan singkat itu sampai sekarang berterusan diikat atas satu fikrah perjuangan yang sama ingin menjadi murabbi hebat dalam membawa suara Islam di bumi Malaysia.


Aku berkesempatan meninjau ruangan blog kak Nazihah. Sarat dengan cerita-cerita pengalaman hidupnya sebagai seorang guru. Cerita-ceitanya melambangkannya sebagai seorang anak muda yang bercita-cita besar dalam bidang pendidikan. Warna-warna kanvas perjuangannya disekolah cuba disampaikan olehnya dalam bahasa yang mudah dan menyeronokkan untuk dibaca. Berwarna-warni perjuangan hidup seorang guru. Walaupun masih muda di dalam ‘kerja ibadah’ ini sudah nampak akan kesungguhannya dalam mendidik anak bangsa. Betapa aku sendiri tidak sabar untuk menjadi seorang guru.



Bila berchatting dengan kak Nazihah aku sudah dapat agak apa yang beliau selalu sebut. Penuh dengan kata-kata semangat bagaikan ucapan seorang motivator. Selalu memberi kata-kata semangat yang berbau harapan untuk aku sama-sama komited dalam perjuangan menjadi guru ini. Satu tugas yang mulia. Tugas para Nabi para Rasul.



Erti Hidup Pada Memberi…. Inilah satu frasa yang cukup bermakna yang aku cuba aplikasikan dalam kehidupan aku. Memberi tanpa mengharapkan balasan. Hanya pengharapan keredhaan daripada Allah Taala yang mana itulah sebaik-baik balasan bagi manusia yang bergelar hamba. Ayat pendek dari empat patah perkataan yang aku selalu baca di blog Ustaz Hasrizal begitu sinonim dengan jiwa seorang guru yang betul-betul komited untuk mendidik. Dalam mendidik kita tidak boleh lagi mengharapkan balasan material. Mendidik ingin membina manusia agar manusia itu menjadi manusia. Bila pendidik mengharapkan imbuhan duniawi lebih darpada tujuan pembinaan manusia itu maka picanglah sistem pendidikan negara. Hancur dan rosaklah generasi muda yang dilahirkan oleh guru-guru yang lemah kekuatan jiwanya.



Semoga kata-kata ku ini bukan sekadar retorik. Kata-kata untuk menguatkan jiwa menguatkan hati untuk berada dalam bidang pendidikan. Tugas mulia yang mesti dilakukan oleh orang yang luar biasa. Kini dalam proses mencari ilmu tidak boleh biasa-biasa lagi. Menjadi insan luar biasa itu menjadi satu kemestian kepada setiap guru pelatih.

0 Cetusan minda:

  ©Template by Dicas Blogger.