Khamis, 11 Jun 2009

BN tidak mampu retakkan Pakatan Rakyat - Anwar

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim yakin Barisan Nasional tidak akan mampu meretakkan permuafakatan Pakatan Rakyat berhubung dengan isu Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, beliau bersama dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bertemu semalam bagi membincangkan isu yang hangat diperkatakan muktahir ini.

Menurut Anwar, Pakatan Rakyat percaya perselisihan yang berlaku hanyalah kecil tetapi digembar-gemburkan oleh media yang dikuasai Umno BN.

Berikut disiarkan kenyataan penuh Anwar:

Kenyataan ini saya edarkan setelah berbincang dengan Ustaz Abdul Hadi Awang dan Sdr Lim Kit Siang semalam. Kami mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat bagi menjayakan Agenda Perubahan.

Kami berpendapat adalah penting untuk memberi peluang dan ruang kepada rakan-rakan parti komponen untuk menjelaskan pendirian mereka berhubung sebarang isu yang berbangkit.

Kami percaya perselisihan kecil yang digembar gembur oleh media Umno-BN tidak akan meretakkan permuafakatan yang terbina dari iltizam untuk membawa Perubahan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Perlu dijelaskan bahawa isu rundingan PAS-umno yang berbangkit dari kenyataan Ustaz Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar di muktamar tahunan baru-baru ini harus dilihat dalam konteks pidato Presiden PAS.

Dalam pidato tersebut Ustaz Abdul Hadi mengulangi komitmen PAS untuk memastikan Perubahan terlaksana melalui wadah Pakatan Rakyat dan menggariskan kewajaran muafakat antara parti bagi menyelesaikan krisis Perak melalui pilihanraya, menggesa agar badan kehakiman bebas dari sebarang kongkongan dan pilihanraya yang telus.

Inshaallah permuafakatan Keadilan, PAS dan DAP akan bertambah utuh dari hari ke hari. Rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan cekap mentadbir bagi kembali memacu negara ini ke persada. Pakatan Rakyat bersedia menggalas tanggungjawab demi memastikan negara ini berada di landasan yang tepat.

ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

Idea pimpinan tidak rugikan parti,
Pakatan Rakyat - Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - "PAS tidak akan mengkhianati Pakatan kita, bahkan kita akan perkukuhkan gabungan ini menjadi alternatif bagi rakyat."

Naib Presiden PAS Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata idea yang dilontar oleh pimpinan tentulah berpijak dari dasar syarak dan jauh daripada tindakan merugikan parti atau gabungan Pakatan Rakyat.

"Sebagai ahli parti, kita mesti menerima idea dan gagasan ini dengan baik sangka kepada Presiden di samping mengikuti penjelasan darinya.

"Idea ini dilontar diperingkat awal untuk menjadi bahan renungan semua pihak. Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya," kata Tuan Ibrahim dalam blog peribadinya.

Ramai yang membuat pelbagai tafsiran dan andaian apabila Presiden PAS mengutarakan gagasan Kerajaan Perpaduan namun katanya kesemua permasalahan ini berpunca dari tiada satu penjelasan lengkap dikeluarkan.

Terdahulu, Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa selepas muktamar media masih memainkan isu yang dijangka boleh memecah-belahkan PAS.

"Kita harus faham sepak terajang media musuh, adalah malang kalau kita yang tahu media musuh, tetapi masih percaya kepada berita yang disebarkan oleh musuh.

"Seluruh ahli dan pimpinan PAS mesti menjadikan Harakah sebagai media rasmi parti. Sebarang isu yang berbangkit, mestilah dirujuk kepada kenyataan rasmi pimpinan dalam Harakah. Agar kita tidak terjerumus dalam perangkap yang dimainkan oleh musuh," katanya yang dipetik daripada blog 'darigaunghati'.

0 Cetusan minda:

  ©Template by Dicas Blogger.