Khamis, 23 April 2009

'Earth Hour': Ikut perintah Allah jika mahu selamat

Hampir sebulan berlalu sejak penghuni bumi menyambut 'Earth Hour' anjuran Tabung Hidupan Liar Antarabangsa (WWF). Pada sambutan tanggal 28 Mac, lampu dipadamkan sejam, kononnya bagi menyelamatkan dunia daripada kehabisan tenaga dan juga pemanasan global.



Usaha berkenaan bagus tetapi apakah ia dapat menyelamatkan bumi dan manusia seperti diharapkan? Bagi kita jawapannya adalah tidak kerana usaha itu adalah kempen dan publisiti murahan dunia Barat yang mahu dipaksakan ke atas penduduk dunia seluruhnya sedangkan penguasa dan lintah darat kapitalis dunia Baratlah yang merosakkan dan menjejaskan eko sistem dunia.

Bagi kita jaminan keselamatan termasuk kehidupan aman dan bahagia perlu berpaksi kepada hukum-hakam Allah SWT. Ini kerana Allah SWT yang menjadikan alam termasuk dunia ini dan segala penghuninya maka Dia-lah yang mengetahui apa yang terbaik untuk manusia.

Antara jaminan keselamatan Allah SWT terzahir melalui kewujudan Tanah Haram (Makkah dan Madinah) untuk menjadi renungan. Di Tanah Haram, adalah menjadi larangan untuk memotong, menebang atau mencabut pokok dan tumbuh-tumbuhan atau memburu binatang. Pendeknya keharmonian alam dijaga begitu sekali, manusia yang memasuki Tanah Haram terutama pada musim haji dijamin keselamatannya sehingga jemaah tidak boleh berbalah (melalui percakapan) apatah lagi bergaduh dan berperang.

Keselamatan, keharmonian dan keamanan di Tanah Haram sewajarnya dibawa ke seluruh pelosok dunia agar manusia dapat didisiplinkan untuk mematuhi perintah Allah SWT. Ini kerana Allah SWT saja yang menjamin keselamatan manusia sedangkan undang-undang ciptaan manusia tidak dapat lari daripada kelemahan dan kesilapan.

Jaminan Allah SWT antara lain terkandung dalam Ayat 96 Surah Al-A'raaf yang bermaksud: "Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri (negara) beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya."

Ancaman Allah SWT untuk mendatangkan bahaya kepada manusia terkandung dalam ayat-ayat 97 hingga 100 surah yang sama. Pada Ayat 97 dinyatakan: "Maka apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan (azab) Kami kepada mereka pada malam hari ketika mereka sedang tidur?"

Allah SWT telah menyediakan peraturan dan undang-undang-Nya bagi keselamatan manusia tetapi umat Islam hari ini terikut-ikut dengan gagasan Barat yang cuba dipaksakan ke atas mereka. Sungguh begitu aneh kelakuan umat Islam hari ini, apa dicadangkan pihak Barat termasuk 'Earth Hour' mereka ikuti; mereka menjadi pak turut tetapi cara hidup Muslim termasuk perintah Allah SWT mereka pekakkan telinga.

Bagi menjayakan 'Earth Hour', pelbagai pihak daripada stesen televisyen, akhbar dan firma swasta menguar-uarkannya dengan begitu hebat sekali, tetapi bagaimana perintah Allah SWT? Apakah stesen televisyen kita peka akan waktu solat seperti diperintahkan Allah SWT? Jawapannya tidak, malah pada waktu solat yang singkat seperti maghrib, mereka sibuk menyiarkan rancangan kesukaan kanak-kanak menyebabkan anak-anak sukar didisiplinkan untuk solat.

Kemudian akhbar kita pula tidak puas-puas menyiarkan keputusan empat nombor ekor (perjudian) yang kini semakin menjadi-jadi (ruang iklan semakin banyak) kerana tempahan oleh pihak menawarkan teknologi canggih (seperti SMS) bagi mengetahui keputusan dengan cepat.

Di peringkat global pemimpin dunia mengamalkan hukum rimba, yang kuat menindas yang lemah. Negara berkuasa seperti Amerika menjarah negara lemah, menghancur dan menzalimi rakyat Iraq dan Afghanistan; begitu juga rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin. Semua penyelewengan ini 'memanaskan' dunia, 'Earth Hour' hanya propaganda murahan dunia Barat untuk menutup sikap hipokrit mereka. Kembalilah kepada Islam untuk selamat di dunia dan akhirat. Amin. _

0 Cetusan minda:

  ©Template by Dicas Blogger.