Rabu, 7 April 2010

erti Perjuangan terpimpin..

Terbitnya sesebuah perjuangan dalam kondisi ditekan. Kalau tidak ditekan mana nak dikenal apa sebenarnya perjuangan yang mesti diperjuangkan. Lihatlah apa-apa yangberlaku dalam dunia ini hasil daripada kesedaran perjuangan. Ia tidak mengira umur. Tidak mengenal latar belakang. Mana mungkin budak-budak yang masih kecil berumur 7 dan 8 tahun sudah mengetahui erti perjuangan, sudah tahu erti memperjuangkan hak. Lihatlah anak-anak muda di Malaysia kadang-kadang benda-benda hak yang yang mesti diperjuangkan hanya dipandang sepi. Sikap “aku tidak pedulisme” begitu menebal dikalangan anak-anak muda dan mahasiswa di Malaysia. Sudah mati rasa agaknya rakyat kita.



Aku sebenarnya ligat dan aktif membaca dan mengkaji perang-perang lebih lagi peperangan yang berlaku di Palestin. Hasil didikan perang yang berlaku mematangkan diri di usia muda anak-anak Palestin. Seawal muda sudah mula bercakap erti perjuangan, seawal mudanya berumur 7 dan 8 tahun sudah mengerti apa itu hak dan apa itu perjuangan yang perlu diteruskan. Tertarik komen Kak Nazihah seorang yang aku anggap sebagai mentor aku semasa pengajian dia di Universiti Pendidikan Sultan Idris dahulu. Katanya dalam komen tersebut dalam ruangan komen blog aku:



“Salah satu adegan dalam animasi GAZA AL-ABIYAH (Gaza yang enggan tunduk) bagaimana seorang bapa mengambil sedikit tanah dan meletakkannya ke atas tangan si anak sambil berkata ; "Ini tanah tumpah darah kita. Andai ayah mati, kau mesti teruskan perjuangan ini... BERSABARLAH! PENJAJAHAN INI PASTI BERAKHIR"... balas si anak kecil tersebut yang bernama Ahmad, "Dengan Ruh, dengan darah, kami akan bebaskan Al-Aqsa". Sayu mencengkam jiwa menonton animasi ini. Jihad untuk ummah, moga ada sumbangan kita pada mereka. Ayuh!”



Cuba selami apa kata kanak-kanak itu kepada si ayah. Adakah kata-kata itu adalah salinan kata-kata yang diajar setiap hari? Bagi aku kata-kata itu terbit hasil daripada didikan persekitaran, didikan emosi dan juga didikan daripada semangat JIHAD ajaran Islam. Seawal usia sudah cukup baginya untuk mengenal erti perjuangan. Betapa hebatnya didikan persekitaran dan pengalaman.



Pernah aku membaca rintihan di blog Presiden Pro Mahasiswa Nasional apabila ada mahasiswa dan orang ramai melabel mereka sebagai ekstrimis pelajar, jumud, pengganas, dan suka melakukan kekacauan. Tertarik apa yang disebut oleh ustaz tersebut bahawa mereka yang menuduh tidak berada dalam perjuangan kita. Tidak merasa apa yang kita rasa. Dinafikan hak, ditindas dan selalu ditekan. Kalau ingin merasai apa yang dirasainya ustaz tersebut mengajak orang yang melabel itu turut sama dalam perjuangan Mahasiswa. Cuba hayati perjuangan itu barulah boleh dengan sesuka hati untuk mengomen. Barulah kena pada gaya dan tempatnya.



Pernah juga aku baca buku Ustaza Hasrizal berkenaan dengan negara Turki. Sesetengah cerdik pandai di Malaysia suka menulis berkenaan perkara buruk yang berlaku di Turki. Seolah-olah negara Turki ini sudah semakin jauh dengan Islam. Itulah persepsi buruk yang cuba ditimbulkan hasil daripada diri yang tidak sebenarnya berada dalam suasana yang berlaku. Cerita-cerita tepi jalan dan juga buku-buku yang ditulis tanpa kajian di lapangan menghasilkan pemikiran pembaca yang salah. Alangkah ruginya ahli akademik yang sedemikian. Pernah pada satu ketika ada satu artikel yang mengatakan orang turki sudah tidak pandai menyebut nama Nabi Muhammad. Katanya nama Muhammad disebut oleh orang turki sebagai “mehmet”. Katanya lagi



“tengoklah betapa kuatnya pengaruh sekularisasi yang berlaku di Turki hinggakan menyebut nama nabi pun dah tak pandai”.



Keadaan yang sebenarnya yang diceritakan oleh orang turki kepada Ustaz Hasrizal adalah orang-orang turki bukannya tidak pandai menyebut nama MUHAMMAD. Nama MUHAMMAD yang diletakkan kepada nama anak sengaja dipanggil MEHMET kerana untuk mengelakkan fitnah. Bayangkan anak-anak yang bernama MUHAMMAD melakulan jenayah. Alangkan buruknya bila orang mengatakan



“Tengoklah si Muhammad itu melakukan jenayah. Buruk sungguh perangainya”



Jadi atas sebab itulah orang-orang Turki suka menyebut anak yang bernama MUHAMMAD itu sebagai Mehmet. Sekurang-kurangnya dapat menjaga kesucian nama junjungan besar Nabi Muhammad SAW.



Jadi kesimpulannya disini. Persekitaran itu yang mendidik kita. Tidak manis kalau kita cuba timbulkan persepsi yang tidak baik kepada orang yang berada dalam persekitaran yang tidak sama dengan kita. Lihatlah persekitaran di Palestin telah berjaya mendidik jiwa-jiwa anak-anak mudanya yang fikirkan berkenaan perjuangan seawal usia lagi. Lihatlah Ustaz hasrizal berjaya menguasai persekitaran masyarakat TURKI sehingga kita dapat mengetahu serba sedikit bumi Khalifah yant terakhir itu. Lihatlah persekitaran yang membentuk Presiden Pro Mahasiswa Nasional itu. Semuanya dididik daripada persekitaran. Sebolehnya persekitaran kita yang senang sekarang tidak mendidik kita menjadi “aku tidak pedulisme”. Nyahkan fahaman ini agar kita menjadi Mahasiswa yang beridealisme dan matang..

0 Cetusan minda:

  ©Template by Dicas Blogger.