Rabu, 24 Disember 2008

Lagi-lagi HUDUD..

Pada kali ini, saya merasa terpanggil untuk berkongsi pandangan tentang isu hudud yang cuba dikontroversikan oleh media tajaan Barisan Nasional baru-baru ini, apabila YB Husam Musa telah menegaskan bahawa sekiranya PAS bersama Pakatan Rakyat membentuk kerajaan kelak, PAS komited akan melaksanakan undang-undang hudud dan qisas. Selanjutnya, beliau telah menyatakan bahawa sekiranya pelaksanaannya tidak mendapat persetujuan daripada PKR dan DAP, maka PAS akan menangguhkan hasrat tersebut bagi memberi masa buat mereka memahami sepenuhnya tentang pelaksanaan hukum hudud.

Kenyataan beliau, bagaimanapun, telah dijadikan modal oleh media tajaan Barisan Nasional untuk melaga-lagakan di antara PAS dan DAP, selain cuba menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Izinkan saya memberi beberapa pandangan peribadi mengenai isu ini.

PERTAMA, saya ingin menegaskan bahawa hukum hudud dan qisas bukanlah merupakan rekaan/rekacipta daripada PAS, sebaliknya PAS merupakan sebuah gerakan yang gigih menyahut seruan Allah, untuk melaksanakan apa yang telah ditentukan oleh Allah kepada manusia. Seandainya pada suatu hari kelak, PAS sudah tidak mahu melaksanakannya, dan DAP pula yang mengambil alih tugas tersebut, maka DAP pulalah yang perlu diberi dokongan oleh Ummat Islam di Malaysia.

KEDUA, saya ingin mengingatkan bahawa hukum hudud dan qisas ini hanya dikuatkuasakan terhadap Ummat Islam, dan Ummat Bukan Islam tidak tertakluk dan tidak ada kena mengena dengannya, sebaliknya dibenarkan untuk menggunakan undang-undang lain. Mengapa orang bukan Islam perlu takut?

Jadi apa masalahnya? Benarkah hukum hudud dan qisas itu zalim?

Saban tahun, kita menyambut Maulidur-Rasul dengan iringan selawat, sebagai suatu bentuk penghormatan dan kasih terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Kita tidak sedar, bahawa kedatangan Baginda bukanlah sekadar untuk dipuja dan diagungkan, tetapi yang jauh lebih penting ialah untuk menurut segala ajaran Allah yang disampaikan melalui Baginda.

Baginda telah melaksanakan undang-undang syariah ketika di Madinah, yang turut merangkumi undang-undang jinayat (hudud, qisas, diyat, takzir), dalam keadaan masyarakat yang berbilang kaum, termasuk kaum Yahudi. Jadi, adakah baginda merupakan seorang pemimpin yang zalim kerana melaksanakannya? Nauzubillah min zalik.

Sebaliknya baginda telah berjaya membangunkan sebuah masyarakat dan generasi terbaik sepanjang zaman, yang hidup penuh harmoni, dan bebas daripada jenayah. Malah, sejak undang-undang jinayat berkuatkuasa, amat jarang ada yang dijatuhi hukuman, kerana pelaksanaannya telah berjaya mewujudkan sebuah masyarakat yang, di atas penuh kesedaran, bahawa seluruh tindak-tanduk mereka berada dalam perhatian-Nya. Itulah kesan utama dan aura yang terpancar melalui pelaksanaannya, hingga mampu menyampaikan Ummat Islam kepada TAQWA.

Jika hukum hudud ini dibantah oleh golongan bukan Islam, saya tidaklah merasa pelik. Kerana sudah menjadi lumrah, bahawa manusia akan memusuhi perkara yang tidak diketahuinya. Dalam isu ini, ternyata DAP termasuk dalam kategori ini. Mereka menentang bulat-bulat kerana mereka tidak memahami isu ini dan mereka masih terperangkap dalam perspektif yang salah.

Tetapi, yang lebih pelik ialah apabila ada di kalangan Muslim sendiri yang menentang pelaksanaan hukum hudud. Hujah yang paling sering ditimbulkan ialah ianya tidak sesuai kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Apa ini? Adakah mereka tidak tahu bahawa perlaksanaannya hanya melibatkan Ummat Islam sahaja? Adakah mereka tidak memahami bahawa pelaksanaannya adalah untuk mencegah berlakunya kes jenayah yang dilakukan oleh mana-mana Muslim? Adakah mereka tidak sedar bahawa dalam undang-undang jinayat, tidak semudah itu untuk menjatuhkan sesebuah hukuman?

Perbuatan atau perkataan yang tidak mengiktiraf relevansi hukum hudud dan qisas merupakan sebuah pelanggaran terhadap syahadah, bahawa "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH, dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah." Dalam ungkapan syahadah, terakam keyakinan bahawa Allah terkecuali daripada sifat-sifat jahil, bodoh, zalim dan sebagainya. Mana mungkin ketika kita mengakui keesaan-Nya, dalam masa yang sama kita tidak mengiktiraf sebahagian daripada apa yang diturunkan-Nya kepada manusia?

Apapun, saya melihat isu ini melalui perspektif yang positif. Muslihat dan strategi licik daripada musuh boleh DIUBAH sebagai ruang dan peluang bagi kita menerangkan kepada masyarakat, apa sebenarnya perincian dan kandungan sebenar di dalam hukum hudud dan qisas. Jika ada dalam kalangan masyarakat yang tidak pernah mengetahui apa itu hudud dan qisas, mereka mungkin akan tergerak untuk mencari jawapannya. Inilah HIKMAH yang boleh dimanfaatkan oleh PAS, untuk merebut kesempatan ini untuk menyebarluaskan kefahaman sebenar tentang hukum hudud dan qisas dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Lihat sahajalah di Amerika Syarikat pasca 11 September 2008, muslihat musuh yang mahu memerangi Islam, akhirnya menjadi advantage kepada penyebaran dakwah Islamiyyah. Sebelum peristiwa tersebut, dikatakan sangat ramai yang langsung tidak pernah mendengar tentang apa itu Islam, dan mereka hanya mula berminat untuk mendalami ajaran Islam apabila mendapati Islam diserang teruk oleh media Barat. Allah Maha Berkuasa dan Halus Perancangannya, apabila akhirnya ramai orang Amerika berbondong-bondong masuk memeluk Islam.

Tambah menggembirakan saya, ialah apabila membaca kenyataan balas oleh TG Nik Abdul Aziz yang meminta DAP menyatakan apa yang tidak kenanya dengan hukum hudud dan qisas. Jika diingat kembali, memang selama ini, DAP tidak pernah mengeluarkan hujah yang konkrit akan sebab penolakan mereka. Yang sering diulang hanyalah hukum hudud dan qisas tidak sesuai dilaksanakan dalam konteks Malaysia. Jadi, saya juga ingin mengetahui apakah hujah balas mereka terhadap soalan TG Nik Abdul Aziz.

Sama-sama lah kita tunggu ya.


0 Cetusan minda:

  ©Template by Dicas Blogger.