Rabu, 6 Mei 2009

SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR ADALAH SEDEKAH ALLAH

Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

SUMBER
Setiap amal ibadah wajib dimulakan dengan niat. Dalil wajibnya niat adalah Sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam :

Dari ‘Alqamah bin Waqqash al-Laitsi bahawa dia berkata: “Aku mendengar Umar bin Khattab berkata di atas mimbar: “Aku mendengar Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Tiap-tiap amal perbuatan harus disertai dengan niat, balasan bagi setiap amal manusia sesuai dengan apa yang diniatkan….”[1]

Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah tentang hadis di atas ia membuktikan:

Setiap pekerjaan harus didasari dengan niat. Al-Khauyi mengatakan, “Seakan-akan Rasulullah memberi pengertian bahawa niat itu bermacam-macam sebagaimana perbuatan. Seperti orang yang melakukan perbuatan dengan motivasi ingin mendapatkan redha Allah dan apa yang dijanjikan kepadanya, atau ingin menjauhkan diri dari ancaman-Nya.[2]

Namun begitu sering terjadi perbincangan samada niat sebelum memulakan sesuatu ibadah itu perlu dilafazkan atau ianya hanya amalan dalam hati. Adakah disyari’atkan melafazkan niat أصلي فرض (Sahaja aku sembahyang fardhu)….” sebelum mengerjakan ibadah sembahyang atau memadai di dalam hati kita terlintas bahawa kita akan mengerjakan ibadah tersebut?

Niat menurut pengertian bahasa dimaksudkan : “Qasad (maksud yang digerak dan dikehendaki oleh hati), azam (atau ‘azamul qalb, iaitu apa yang telah dicita-citakan di hati) dan iradah (iaitu al-iradatul jazimah, iaitu kehendak keinginan hati dalam keadaan yang sedar).

Adapun menurut syara’, niat adalah : “Berazam (bertekad) untuk melaksanakan ibadah semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah. Qasad, azam dan iradah tempatnya di hati kerana ini kerja hati (‘amal al-Qalb) bukan kerja lidah. Oleh itu niat tidak perlu dilafazkan atau diucapkan, inilah yang disepakati oleh jumhur ulama’ dan etimologis (ahli ilmu asal-usul kata).

Niat juga diertikan : “kehendak, maksud (tujuan) dan keazaman bukan paksaan.[3]

Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah:

“Imam Nawawi mengatakan, bahawa niat bererti maksud, iaitu keinginan yang ada dalam hati.”[4]

Seterusnya al-Hafidz menyatakan:

Al-Baidhawi berkata, “Niat adalah dorongan hati untuk melakukan sesuatu sesuai dengan tujuan, baik mendatangkan manfaat atau menolak mudarat, sedangkan syari’at adalah sesuatu yang membawa kepada perbuatan yang diredai Allah dan mengamalkan segala perintah-Nya.”[5]

Dari keterangan di atas dapatlah kita fahami bahawa setiap amal seseorang mukmin yang terbit dari kehendak, azam, cita-cita dan gerak hatinya yang disedari dan tidak dipaksa, maka itulah yang dinamakan niat. Dan niat ini tempatnya di hati tanpa perlu dilafazkan. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga memulakan sembahyangnya dengan takbir (الله اكبر) tanpa melafazkan apa-apa sebelumnya. Dalilnya adalah seperti hadis yang dikemukakan oleh Aishah radhiallahu 'anha:

Sesungguhnya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam membuka sembahyangnya dengan Takbir.[6]


Jelas melalui riwayat di atas baginda shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melafazkan niat أصلي فرض (“Sahaja aku sembahyang fardhu….”) sebagaimana yang biasa diamalkan di Malaysia.[7] Malah Imam al-Syafi’i rahimahullah Ta’ala juga berpendapat bahawa sembahyang itu dimulakan dengan takbir tanpa melafazkan niat. Berkata Imam al-Syafi’i rahimahullah dalam kitab beliau al-Umm :

“Siapa yang pandai membaca takbir, niscaya tidaklah ia memulakan sembahyangnya melainkan dengan takbir itu sendiri dan takbirnya ialah الله اكبر.”[8] Menurut Syaikh Mohammed Abdul Qoder al-Mandeeli: “Adapun orang yang berkata sunnat berlafaz (niat) sebelum takbir, maka perkataannya menyalahi perkataan Imam al-Syafi’i sendiri.”[9]

Malah sebenarnya telah menjadi satu kesepakatan antara keempat-empat imam mazhab bahawa niat itu tempatnya di hati dan tidak perlu dilafazkan. Imam Ibn Abi al-‘Izz rahimahullah telah berkata:

Tidak ada seorang ulama’ pun dari imam empat, tidak al-Syafi’i mahupun yang lainnya yang mensyaratkan melafazkan niat. Menurut kesepakatan mereka, niat itu tempatnya di dalam hati. Hanya sahaja sebahagian ulama’ kebelakangan mewajibkan seseorang melafazkan niatnya dalam sembahyang. Dan pendapat ini digolongkan sebagai mazhab al-Syafi’i. Al-Nawawi rahimahullah berkata: “Itu tidak benar.”[10]

Sementara itu Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah dalam al-Fatawa al-Kubra (jld. 1, ms. 1) telah berkata:

Melafazkan niat secara jahrah (kuat) tidak pernah disyari’atkan walaupun oleh salah seorang ulama’ Muslimin, tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tidak pernah dilakukan oleh salah seorang dari para Khulafa’ baginda, tidak pernah dilakukan oleh para sahabat baginda dan juga tidak pernah dilakukan oleh para Salaf al-ummah dan para ulama’nya.[11]

Kaedah yang sama juga perlu diterapkan dalam sembahyang jamak dan qasar. Oleh itu memadailah sekiranya di hati kita terdetik untuk mengerjakan sembahyang tertentu secara jamak atau qasar atau kedua-duanya sekali tanpa melafazkan niat tersebut. Telah tersebar dalam kitab-kitab fardhu ‘ain di Malaysia di mana penulis kitab-kitab tersebut telah menurunkan lafaz-lafaz dengan formulasi tertentu yang tidak ada contohnya dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Lafaz-lafaz tersebut tidak pernah wujud dalam mana-mana kitab-kitab hadis. Malah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam juga tidak pernah memerintah atau mengajar para sahabat radhiallahu 'anhum lafaz-lafaz niat yang tertentu. Berkata Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah :

Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah menjamak dan mengqasar sembahyang bersama dengan para sahabatnya, namun baginda tidak memerintahkan mereka untuk niat jamak dan qasar… Selain itu Rasulullah juga pernah mengerjakan sembahyang Zuhur di padang Arafah tanpa memberitahu para sahabatnya terlebih dahulu bahawa setelah itu akan terus dilaksanakan sembahyang Asar (jamak taqdim). Baginda terus sahaja sembahyang Asar dengan para sahabatnya. Tidak ada seorangpun dari mereka yang berniat jamak… Begitu juga ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sembahyang berjemaah bersama para sahabat di tempat yang bernama Dzil Hulaifah sebanyak dua rakaat tanpa menyuruh mereka berniat qasar.[12]

Namun begitu melalui pengalaman penulis sendiri, ramai yang enggan melakukan sembahyang jamak dan qasar semata-mata kerana mereka tidak tahu cara berniat dalam bahasa arab mengikut formulasi lafaz yang di ajar dalam kelas-kelas atau kitab-kitab fardhu ‘ain. Pada tanggapan mereka tanpa melafazkan niat dengan lafaz-lafaz tersebut, sembahyang mereka akan terbatal. Ini adalah satu perkara yang amat membingungkan kerana mereka sebenarnya meninggalkan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam hanya kerana terlalu memberat-beratkan perkara yang sebenarnya tidak dituntut oleh syari’at. Sewajarnya mereka mengikut tatacara Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memulakan sembahyang baginda tanpa melafazkan apa-apa niat sebelum takbir kerana niat baginda tempatnya di hati. Oleh itu tidak melafazkan niat seperti “Ushollli Fardhu (Sahaja aku sembahyang fardhu)..” ketika memulakan sembahyang adalah sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang wajib kita semua patuhi. Ini adalah dalam rangka mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam ibadah sembahyang sepertimana yang diwajibkan ke atas kita semua sebagaimana sabdanya:

Sembahyanglah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersembahyang.[13]

[1] Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab Bada’ al-Wahyu, hadis no. 1.
[2] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari jld. 1, ms. 18.
[3] Rasul Dahri, Membaca Niat Adalah Wajib, Sunnah atau Bid’ah, (nota kuliah), ms. 3.
[4] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jld. 1, ms. 19.
[5] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jld. 1, ms. 19.
[6] Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahih Muslim, Kitab al-Shalat, hadis no. 498.
[7] Antara lafaz niat yang biasa terdapat dalam kitab-kitab Fardhu ‘Ain sekiranya ingin memulakan sembahyang qasar dan jamak Zuhur dan Asar adalah أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا الى العصر اداء لله تَعَالَي (Sengaja aku sembahyang fardhu Zuhur dua rakaat qasar serta dijamakkan dengan Asar kerana Allah Ta’ala). Setelah selesai sembahyang Zuhur dua rakat maka untuk meneruskan sembahyang Asar maka dilafazkan niat أصلي فرض العصر ركعتين قصرا لله تَعَالَي (Sengaja aku sembahyang fardhu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Ta’ala). Formula lafaz niat ini sebenarnya tidak ada contohnya dari Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam.
[8] Al-Imam al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld. 1, ms. 241.
[9] Mohammad Abdul Qoder al-Mandeeli, Persoalan Yang Berkehendak Kepada Melaksanakan Untuk Mengatasi dan Mengubah Adat-Adat Yang Berlaku Dalam Masyarakat Dengan Sangkaan Ibadat, Mekah al-Mukarramah 1423H, ms. 16.
[10] Dinukil daripada Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 100.
[11] Dinukil daripada kertas kerja Ustaz Rasul Dahri, Membaca Niat, Adakah Wajib, Sunnah atau Bid’ah?, ms. 13.
[12] Dinukil daripada kitab Total Koreksi Ritual Shalat, ms. 404 dan juga Fikih Sunnah, jld. 2, ms.225.
[13] Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, hadis no. 631.

0 Cetusan minda:

  ©Template by Dicas Blogger.