Jumaat, 17 September 2010

Aku pun bernafsu juga...

Selamat hari raya diucapkan kepada sahabat-sahabat semua. Sebulan kita berpuasa menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa kini mula untuk kita berjuang menempuh sebelas bulan yang paling kritikal. Semoga pentarbiahan di sebulan bulan Ramadhan memberi kegagahan asli kepada jiwa untuk menempuh dugaan bersebelas bulan yang akan datang.



Kadang-kadang kegagalan itu menjelma di malam raya lagi. Ramadhannya kuat dihiasi dengan ibadah, kuat dengan tahajudnya, dengan dhuhanya yang tidak pernah hilang, dengan alunan zikir yang memecah hening pagi. Tibanya malam raya seolah-olah tidak meninggalkan bekas di hati. Laungan takbir sunat di malam raya dipandang sepi. Malam raya kosong tanpa pengisian. Pengisian-pengisian kemaksiatan dihidangkan di malam raya dengan membakar duit bermain mercun, alunan-alunan lagu raya yang menghancurkan semangat tarbiyah Ramadhan. Di kala sang pencinta Ramadhan menangis perpisahan bersama Ramadhan tawa hilai sang pencinta syawal memecah sunyi malam. Kononnya kita sudah berada di malam kemenangan. Marilah kita bergembira sehabisnya.



Aduh umat Melayu. Jauh ajaran dari kelakuan.


Lagi lebai lagi berjanggut,


Naik ke balai berhinggut-hinggut,


Sahaja pak lebai buta perut,


Halal haram bubuh di mulut.

Pagi-pagi masak kanji,


Makan dahulu melapikkan perut,


Cakapan kosong tidak berisi,


Menjadi dusta bercampur karut.

Hafiz menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rasa serba salah mencengkam di dadanya. Lama dia berfikir sebelum bertindak menghulurkan salam bersalaman dengan si gadis cantik manis Aura. Aura sememangnya kawan sekelasnya yang paling cantik. Si gadis berketurunan Melayu Cina bertinggi lampai, kulitnya yang putih selembut salju pasti mencairkan mana-mana lelaki yang menatapnya. Bibir nipis yang tidak pernah lokek dengan senyuman terutamanya kepada kawan-kawannya seperti Hafiz. Antara rasa bersalah dan serba salah Hafiz menyambut salam Aura.



“Hai fiz”


“Selamat hari raya. Wah hensom sungguh kau dengan baju raya biru nie Fiz”. Aura memuji sambil memberi senyumannya yang paling menawan.



“erkk..”


“yer..yer”Hafiz menjawab gugup. Antara sedar dan kebluran untuk menjawab pujian Aura.



Hafiz terkenal seorang budak yang wara’. Berlatarbelakangkan pengajian di sekolah Agama Rakyat dan juga berkecimpung dengan usrah di alam kampus menjadikan Hafiz seorang yang menitikberatkan syariat agama di dalam kehidupannya. Sebolehnya dia ingin menjaga setiap batas dalam kelakuannya seharian agar bertepatan dengan kehendak agama.



Pada masa yang sama dia terpaksa berhadapan dengan sahabat-sahabatnya yang beraneka ragam. Ada yang tidak mempunyai pengetahuan agama, hidup dalam ketidakaturan yang nyata, ada yang berpendidikan agama tetapi menjadikan agama sebagai hiasan yang penuh kepura-puraan. Kadang-kadang Hafiz dalam dilema untuk berhadapan sabahabt-sahabatnya yang bermacam ragam itu.



Sebagai pendakwah Hafiz perlu bijak. Tetapi sayangnya hafiz kadang-kadang rebah tersungkur bersama prinsipnya. Hilang habis pegangan bila bersama-sama kawan-kawannya.



“Jom fiz kita karaoke. Layan lagu raya pun best jugak nie”



pelawa Aura sambil mendendangkan suara pujuk rayu yang mencairkan. Memek mukanya sugguh mengoda sambil menarik-narik baju Hafiz.



Hafiz tertagagap-gagap. Keliru antara ajakan godaan Aura dengan prinsip yang mesti dipegangnya itu. Bukan hanya satu prinsip malah batas syariat yang mesti dilaksanakan oleh setiap jiwa yang bergelar Islam.



“alah fiz, kau layan jer. Mungkin bila dia makin rapat dengan kau mudah bagi kau untuk dakwah dia”. Bisik si Iblis ke dada Hafiz. Cerdiknya Iblis dengan bisikan yang menjerat itu. Perangkan iblis yang cukup halus dan tajam. Lemah jiwa-jiwa dai’ kadang-kadang dibisikkan oleh gelombang gemersik seperti itu.



Wahai umat Islam, Islamnya kamu tidak menjanjikan syurga buatmu. Islamnya kamu bukan sekadar mengerjakan solat lima waktu. Tetapi keislaman dan keimananamu itu akan diuji oleh Allah Taala bagi mengetahui kualiti keimananmu kepada Allah.



Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (Al-‘Ankabut/29:2-3)

0 Cetusan minda:

  ©Template by Dicas Blogger.