Ahad, 23 Januari 2011

Kemahuan dan tindakan. Tonik kejayaan dan kehebatan

Salam bahagia untuk semua.



Agak lama syaa tidak menyeri blog saya dengan artikel dan sebagainya. Beberapa tanggunjawab yang perlu dipikul dan kekangan masa serta sambungan internet menyebabkan aktiviti blogging saya banyak terbantut.



Saya cuba tidak menjadikan sesuatu itu sebagai alasan. Berblogging sepatutunya menjadi satu ‘perjuangan’ yang perlu bagi orang muda seperti saya kerana dengan berblogging boleh merangsang minda dan meluahkan fikrah yang ada dalam jiwa kita. Fikrah yang terhasil daripada berpesekitaran dan membaca di kampus sudah dibentuk dan sepatutnya mesti ada medium untuk kita aplikasikan segala fikrah yang kita ada agar tidak beku kaku di fikiran. Kiranya berblogging adalah salah satu cara untuk mengasah lagi fikrah tersebut. insyaAllah saya akan cuba menjadikan ia satu kewajipan kepada diri walaupun diri berada di dalam kesibukan.



Apabila meneliti blog-blog orang yang hebat seperti ahli politik, orang bisnes, orang intelek dan sebagainya ia timbul kekaguman kepada diri saya bagaimana mereka membahagikan masa mereka untuk segala aktiviti mereka. Menurut Faisal Tehrani seorang penulis yang terkenal di tanah air kita menulis adalah salah satu cara untuk kita pasakkan fikrah kita ke dalam fikiran orang yang membaca blog kita. Menulis bukanlah satu perkara yang kecil ataupun biasa-biasa sahaja. Menulis kadang memerlukan masa dan idea yang bernas agar penulisan itu tampak menarik dan berkesan.



Saya membaca buku Cinta di Langit Gaza tulisan Ustaz Ridhuan Mohd Nor. Karya yang dikongsikan oleh beliau penuh dengan pengembaraan seluruh dunia dalam misi kemanusiaan sedangkan di peringkat Nasional beliau memegang jawatan di dalam PAS sebagai Ketua Pemuda Wilayah. Hebat bukan? Bagaimana orang sebegini sibuk membahagikan masa untuk parti, misi dan keluarga?



Saya juga melihat potret Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Teringat liku-liku perjuangan sebagai seorang Mursyidul Am dan juga Menteri Besar Kelantan memerah keringat di tubuh tua itu untuk menggerakkan perjuangan. Meneliti pergerakan dan perjuangannya di seluruh negara sarat dengan keletihan dan jadual yang sangat padat. Bagaimana tubuh usang ini mempunyai kekuatan dan masa untuk menghadapi semua ini. Ajaib bukan?



Sejarah Al-Fateh juga memberikan motivasinya yang tersendiri. Al-Fateh Sultan muda yang kalau ditarakan dengan umur orang Malaysia memang seorang Sultan yang mentah dan tidak matang. Tetapi bagaimana seorang Sultan yang berumur 20 tahun mempunyai satu strategi perang yang cukup licik dan bijak sehingga menghancurkan kerajaan Byzantin. Penantian selama 800 tahun akhirnya diakhiri oleh seorang anak muda yang berumur 20 tahun. Bagaimana proses pendidikan dan kawalan masa yang dibuat oleh AL-Fateh dan mentornya untuk membina satu tubuh yang berkualiti sebegitu?



Akhirnya kemahuan adalah segala-galanya. Kemahuan menghasilkan tindakan. Tanpa kemahuan kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Kita hanya mesin yang kaku kalau kemahuan tidak menjadi elektriknya.

0 Cetusan minda:

  ©Template by Dicas Blogger.