Jumaat, 19 November 2010

Hari di kampung..

Alhamdulillah… Segar nyaman dan damai. Suansana kampung hinggap kembali di pengalaman ku. Suasana yang cukup indah. Kesegaran udara dan hati yang tenang. Di pagi hari dihiasi kicauan burung-burung yang berterbangan. Dimalam harinya diulit dengan kesejukan dan kenyamanan udara kampung. Suasana yang cukup aku rindui.



Suasana di kampung sungguh banyak bezanya dengan di kampus. Otak seolah-olah kosong dihiasi dengan ketenangan. Sekali-sekala hilaian tawa dan teriakan adik-adik menyerikan hidup. Kucing-kucing yang lincah berlari. Panggilan ma dan abah yang mesti dipenuhi. Panggilan Allah untuk mengimarahkan Rumahnya.



Di malam ini hujan menitik dengan lebat. Berbunyi satu-satu pukulan hujan menimpa atap rumah. Nyaring dan bising sekali. Tetapi sungguh nyaman. Aku tidak mengerti dengan perasaan pada malam ini. Ia seolah-olah dipancar dengan sinaran iman yang terang benderang. Tenang.. sungguh tenang sekali. Mungkin tulisan ini hanya gerak geri tangan tanpa kawalan seratus peratus daripada minda. Perasaan yang ingin menukilkan akan dirinya. Ia keluar tanpa terucap. Subhanallah..



Teringat celoteh ustaz di masjid membicarakan berkenaan dengan korban. Teringat pakcik-pakcik tua yang tak sudah-sudah menuntut ilmu. Mungkin menunggu saat kematian yang akan tiba. Itulah resamnya. Tua selalu dikaitkan dengan kematian. Yang muda kemana hilang? Barangkali masih terfikir lambat lagi ajal akan menjemput. Tak mengapalah. Ayuh pak cik tua. Perhebatkan persediaan mu. Anak muda yang ada kesedaran. Jalankan pengisalahanmu terhadap masyarakat. Masyarakat memerlukan khidmatmu.



Ayah Din berbangga dengan terbangnya si tahfiz mulia daripada Mesir. Mat nama panggilannya. Ia bagaikan perwira dijulang-julang oleh orang kampung. Tuah orang berilmu. Belajar jauh-jauh bila balik dijulang-julang. Mat…. Dirimu bukan sekadar dijulang mat. Tetapi orang kampung inginkan sesuatu darimu. Curahlah ilmu agama mu di kampung ini. Itu yang paling berharga buat orang kampung yang dahagakan sinaran Ilahi.



Adikku menangis.



“Abah… maafkan ore abah. Ore nok belaja sungguh doh pah nie”.



Keputusan UPSR nya mungkin memberikan sedikit keinsafan kepada adikku ini. Wahai adik. Abangmu tidak pernah mengharapkan kejayaan mu di dunia ini. Apa yang abangmu harapkan untuk kejayaan kamu di akhirat. Apa yang abang mu harapkan kamu tidak dicampakkan ke dalam api neraka.



“ Abah… ore raso baik hantar khairi ke sekolah Tahfiz. Bia dio ngapa Quran”..



“molek jugak tu. Abah ajat nok ata ke skoloh tahfiz swasta. Tapi mahal la baya nyoh”



“ takpola abah. Bia Allah bayar diakhirat nanti”



Abah tersenyum. Aku bersyukur. Ayah aku semakin akur dengan sistem sekolah agama yang dapat menyelamatkan dunia. Abah aku orang yang berada dalam sistem pendidikan di Malaysia sebagai seorang guru. Tetapi mungkin keyakinannya tidak di pahat ke dalam sisten pendidikan Malaysia. Memahat hatinya kepada sistem pendidikan agama yang banyak mendekatkan dirinya kepada Allah. Itualah hebatnya anak-anak berada di sekolah agama. Anak-anak yang belajar agama tetapi ibu dan ayah yang merasakan satu nikmatnya.



Hati aku berkata-kata



“Ma dan Abah.. semoga kamu berada di tempat yang paling mulia siakhirat nanti kerana kepercayaan mu yang tinggi terhadap sistem agama”…



Ma masih demam. Tubuh masih lemah. Rengekan adik bongsu ingin bersantap di KFC tetap dipenuhi. Aqilah tak habis-habis dengan rengekannya. Setiap keinginannya mahu sahaja dipenuhi. Kalau tidak sampai ke pagi rengekannya terus mendesak. Mungkin yang ini yang bongsu kot.. Ma mengeluh. Itulah ma aku. Keluhannya keluhan sayang yang tidak berbelah bagi kepada anak-anak.



“ Dah.. dah.. tok payok make KFC.. belai aye goreng sediri dumoh. Perabih pitih jah make kfc”..



Ma meluncur laju kereta menuju bandar Machang. Kemahuan Aqilah mesti dipenuhi.



Inilah nukilan seharian di kampung…

11 Nov 2010

11.49 malam.

Bilik peribadiku..

0 Cetusan minda:

  ©Template by Dicas Blogger.